Research Official Portal

RESEARCH & INNOVATION DEPARTMENT
Office of Deputy Vice-Chancellor (Research & Innovation)


Facebook Logo PNG Clipart  YouTube logo2

SKIM GERAN PENYELIDIKAN TRANS DISIPLINARI (TRGS)

**FRGS Trans Disciplinary Program (FRGS-TD) telah dijenamakan semula sebagai Skim Geran Penyelidikan Trans Disiplinari (TRGS) mulai tahun 2014. Geran ini dibuka kepada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi menggalakkan kerjasama keserakanan merentasi kluster penyelidikan.**

FALSAFAH

Skim Penyelidikan Trans Disiplinari (TRGS) merangkumi penyelidikan fundamental dan eksploratori yang dapat menggalakkan penjanaan ilmu yang mampu menyumbang terhadap peningkatan tahap intelektual, perkembangan sempadan ilmu, penciptaan teknologi baru dan penyuburan budaya yang dinamik selaras dengan aspirasi negara.

TRGS dapat membina kerjasama keserakanan merentasi pelbagai kluster penyelidikan dan bersifat trans disiplin, bagi meletakkan Malaysia dalam peta dunia dari segi penyelidikan fundamental dalam kluster tertentu.

DEFINISI

Penyelidikan TRGS merupakan penyelidikan asas dan eksploratori yang boleh menghasilkan teori, konsep dan idea baru demi perkembangan ilmu.

TUJUAN

Penyelidikan ini bertujuan untuk melonjakkan penjanaan teori, konsep dan idea baru yang dapat menjadi pemangkin kepada penemuan baru yang menerobos sempadan ilmu dan penciptaan inovatif.

SILING PERMOHONAN

Jumlah siling permohonan bagi keseluruhan program adalah RM1,500,000.00 (1.5 juta). Tahun pertama tidak melebihi 50% daripada jumlah yang diluluskan.

KLUSTER PENYELIDIKAN

Program ini mesti melibatkan minimum tiga (3) projek di bawah kluster yang berbeza dari institusi yang sama.

  1. Sains Tulen dan Gunaan (Pure and Applied Science)
  2. Teknologi dan Kejuruteraan (Technology and Engineering)
  3. Sains Kesihatan dan Klinikal (Clinical and Health Sciences)
  4. Sains Sosial (Social Sciences)
  5. Sastera dan Sastera Ikhtisas (Arts and Applied Arts)
  6. Sains Tabii dan Warisan Negara (Natural Sciences and National Heritage)
  7. Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Information and Communication Technology)

SYARAT-SYARAT PERMOHONAN

Geran ini terbuka kepada kakitangan akademik di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dengan syarat-syarat berikut:-

  1. Ketua Program hendaklah warganegara Malaysia;
  2. Ketua Program adalah kakitangan akademik tetap (Profesor atau Profesor Madya) dan mengetuai salah satu projek dalam program tersebut;
  3. Minimum dua (2) Ketua Projek hendaklah warganegara Malaysia;
  4. Bagi Ketua Projek yang bukan warganegara, dimestikan mempunyai penyelidik bersama warganegara Malaysia kakitangan akademik yang bertaraf tetap dari institusi yang sama.
  5. Ketua Projek yang bertaraf kontrak, dimestikan mempunyai penyelidik bersama kakitangan akademik bertaraf tetap dari institusi yang sama.
  6. Penyelidikan dan penghasilan modal insan mestilah dilakukan dalam negara.
  7. Pemohon hanya dibenarkan menjadi Ketua Projek bagi satu projek sahaja.
  8. Permohonan baru bagi mereka yang telah diluluskan geran TRGS pada fasa yang terdahulu akan diberi pertimbangan dengan mengemukakan bukti tahap selesai projek pada kadar 75 peratus (75%).
  9. Jumlah peruntukan yang dipohon hendaklah tidak melebihi siling yang telah ditetapkan.
  10. Setiap Program yang dipohon diharap dapat melahirkan Modal Insan dalam penyelidikan. Sehubungan dengan itu, bagi penyelidikan tiga (3) tahun dapat melatih sekurang-kurangnya empat (4) pelajar Ph.D atau lapan (8) orang pelajar Sarjana atau gabungan keduanya.
  11. Pensyarah yang bercuti belajar tidak dibenarkan menjadi Ketua Program/Projek. Walau bagaimanapun, beliau boleh menjadi ahli dalam kumpulan penyelidikan.
  12. Ketua Projek yang berpindah universiti hendaklah melepaskan kedudukan sebagai ketua. Walau bagaimanapun, beliau boleh kekal sebagai ahli dalam kumpulan penyelidikan berkenaan.

KRITERIA PENILAIAN

  • Penyelidikan yang dipohon mestilah merupakan penyelidikan yang dapat menghasilkan suatu idea/teori/konsep/kaedah/model/proses baru; dan
  • Penyelidikan yang dapat menambahbaik sesuatu polisi, metodologi dan model penyelesaian yang sedia ada; atau
  • Penyelidikan yang merangkumi isu-isu kemanusiaan dan kemasyarakatan bagi tujuan peningkatan nilai kehidupan dalam negara dan sejagat; atau
  • Penyelidikan yang berpotensi untuk menyumbang kepada agenda strategik negara.

TEMPOH PENYELIDIKAN

Tempoh penyelidikan adalah tiga (3) tahun.